--> Skip to main content

Kalau bina jambatan, gajah guna tak?

BENTUK muka bumi menjadi cabaran pembinaan jambatan untuk digunakan haiwan liar menyeberang Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli sekali gus mengelak kemalangan berlaku.

Menteri Kanan (Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk menjalankan kajian mengenai kesesuaian pembinaan jambatan di laluan berkenaan.

Menurutnya, sebagai langkah berjaga-jaga, kementeriannya sudah meletakkan tanda amaran di kawasan berisiko supaya pemandu lebih berhati-hati.

"Untuk bina jambatan di kawasan ini agak mencabar kerana bergunung-ganang. Kalau nak bina jambatan kosnya tinggi.

"Kalau bina jambatan adakah gajah akan menggunakannya, itu juga menjadi cabaran kepada kita.

"Sebab itu, kita berkerjasama dengan PERHILITAN seperti dilakukan di Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) kerana ada peruntukan untuk laluan haiwan," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

Fadillah (GPS-Petra Jaya) berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena).

Dalam soalannya, Mahfuz mahu mendapatkan penjelasan sama ada kementerian mempunyai cadangan untuk meminta jambatan yang digunakan haiwan liar untuk menyeberang lebuh raya.

Pada 3 Ogos lalu, lima individu bernasib baik apabila berjaya keluar untuk menyelamatkan diri apabila kenderaan mereka dipijak gajah yang mengamuk selepas sebuah kereta lain membunyikan hon.

Kejadian itu berlaku pada 7 malam ketika kenderaan berkenaan dikatakan dari Kelantan menghala ke Perak.

Kejadian itu berlaku tidak jauh dari Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa.