--> Skip to main content

'Masih kaji tiga faktor didakwa penyebab jangkitan Covid-19'

DAKWAAN saintis mengenai kadar kelembapan udara rendah, tandas awam dan habuk atau partikel halus bawaan udara boleh menyebabkan jangkitan Covid-19, masih di peringkat kajian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu masih dalam kajian dan setiap hari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belajar perkara baharu berkaitan Covid-19.

"Kita memerlukan bukti kukuh sebelum membuat rumusan mengenai tiga faktor itu turut boleh menyumbang kepada Covid-19 kerana ia masih di peringkat kajian," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Forbes yang dipetik berkata, kajian dibuat saintis terbabit mengambil kira tiga faktor berbeza dalam penyelidikan mereka iaitu kadar kelembapan udara rendah, tandas awam dan habuk atau partikel halus bawaan udara boleh menyebabkan Covid-19.

Menurut laporan itu, dalam satu kajian dilakukan di kawasan Greater Sydney, Australia menunjukkan wujud pertalian antara kadar kelembapan udara dan transmisi Covid-19 dalam kalangan komuniti setempat.

Ketua Penyelidiknya, Dr Michael Ward menyatakan terdapat bukti menunjukkan kelembapan rendah menjadi faktor penyebaran Covid-19.

Saintis menganggarkan, bagi setiap satu peratus penurunan kelembapan udara, kes jangkitan Covid-19 akan meningkat sebanyak tujuh hingga lapan peratus.