--> Skip to main content

Juhari dilantik Speaker DUN Kedah

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Juhari Bulat dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang baharu pada sesi Persidangan DUN di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Pelantikan beliau dibuat berikutan Speaker DUN terdahulu, Datuk Ahmad Kassim meletak jawatan pada 15 Ogos lalu.

Juhari sebelum ini memegang jawatan Timbalan Speaker DUN bermula 4 Julai 2018 ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan meletakkan jawatan itu pada 23 Ogos lalu.

Pencalonan Juhari sebagai Speaker dicadangkan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor (Pas-Jeneri) dan disokong oleh Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Bersatu-Guar Cempedak) bersama-sama 21 ADUN kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah yang lain.

Turut dilantik hari ini adalah Adun Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim sebagai Timbalan Speaker yang baharu.

Terdahulu, berlaku perdebatan berhubung usul yang dicadangkan Sanusi membabitkan beberapa Adun kerajaan termasuk Ketua Pembangkang Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Phahrolrazi mempertikaikan pelantikan Speaker yang didakwa tidak mengikut prosedur yang betul.

Pada 17 Mei lalu, Sanusi dilantik sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14 selepas gabungan PN negeri memperoleh sokongan majoriti Adun bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Komposisi terkini 36 kawasan DUN di Kedah adalah Pas (15), Bersatu (6), Umno (2) di barisan kerajaan, manakala di pihak pembangkang Parti Keadilan Rakyat (5), Parti Amanah Negara (4), DAP (2) dan Bebas (2).