--> Skip to main content

JKDM terkhilaf bayar tuntutan GST RM4.38 juta [METROTV]

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dikesan membuat lebihan bayaran tuntutan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4.38 juta, yang dibuat selepas 31 Disember 2018.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, pembayaran balik itu sepatutnya dibuat oleh JKDM kepada individu yang membuat tuntutan selepas pemansuhan GST dalam tempoh ditetapkan.

Namun, Nik Azman berkata, semakan audit mendapati sebanyak 75 daripada 100,736 tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM4.38 juta dibayar walaupun permohonan diterima selepas tempoh ditetapkan.

"Sehingga tarikh pengauditan, tuntutan bayaran balik GST terlebih bayar belum diambil tindakan oleh JKDM.

"Pihak Audit mendapati perkara ini berlaku kerana pegawai yang bertanggungjawab tidak menyemak tarikh terimaan Penyata GST, sebaliknya melaksanakan proses pembayaran balik mengikut fail tugasan yang diserahkan.

"Kesilapan pembayaran ini menyebabkan ketirisan hasil kepada Kerajaan sekiranya tidak dikutip semula," katanya pada sidang media Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019, Siri 1, di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, menerusi maklum balas daripada JKDM bertarikh 29 Mei lalu, JKDM berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan menuntut semula tuntutan terkhilaf bayar yang membabitkan 75 transaksi berjumlah RM4.38 juta.

"Hasil tindakan JKDM, 48 transaksi sudah dikeluarkan bil tuntutan dengan nilai berjumlah RM3.98 juta sehingga 28 Mei 2020 manakala 27 transaksi dalam tindakan untuk menuntut semula," katanya.

Sementara itu maklum balas JKDM yang diterima pada 4 Ogos lalu pula menyatakan 42 transaksi bil tuntutan sudah selesai dipungut berjumlah RM798,453.64 setakat 3 Ogos lalu.

Nik Azman berkata, selain JKDM pihaknya turut mengaudit Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mendapati terdapat tunggakan bayaran balik cukai bagi tahun taksiran 2017 dan sebelum, berjumlah RM3.807 bilion masih tidak dijelaskan.

"Perkara ini berlaku disebabkan LHDN tidak melaksanakan peraturan 'Proses Membenarkan Cukai Pendapatan Dibayar Dahulu dan Audit Kemudian' (ReFAL) secara sepenuhnya.

"Komitmen bayaran balik cukai yang lewat dijelaskan menyebabkan LHDN terpaksa menanggung tunggakan pampasan atas kelewatan pembayaran balik cukai pendapatan (Seksyen 111D Akta 53) berjumlah RM38.29 juta (setakat tahun 2019) bagi 135,960 kes dari tahun taksiran 2013 hingga 2019.

"Jumlah pampasan ini akan terus meningkat selagi bayaran balik cukai tidak diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Sementara, LHDN dalam maklum balasnya pada 9 Jun lalu berkata, penyelesaian tunggakan kes bayaran balik itu mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan kerana jumlah kredit bayaran balik yang disediakan sebelum ini berbeza dengan jumlah baki dalam lejar semasa, disebabkan wujud beberapa transaksi baharu dalam lejar tahun bayaran balik seharusnya dibayar.

DATUK Nik Azman Nik Abdul Majid ketika sidang media selepas membentangkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 1 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah DATUK Nik Azman Nik Abdul Majid ketika sidang media selepas membentangkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 1 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

"Ini menyebabkan proses bayaran balik tidak dapat diluluskan secara automatik dan kes perlu dirujuk ke cawangan LHDN bagi penyediaan semula.

"Selain itu terdapat juga kes tunggakan bayaran balik yang masih berada di peringkat audit atau siasatan yang hanya boleh dibayar balik setelah kes berkenaan selesai.

"Terdapat lebihan kredit yang wujud dalam lejar ialah baki kredit yang dipindahkan ke Sistem Taksir Sendiri (STS)," katanya.

Selain itu, katanya, pegawai unit pungutan menghadapi kesukaran dalam menentukan kesahihan sama ada baki kredit berkenaan sudah diambil kira seluruh tanggungan cukai yang dibangkitkan pada tahun terdahulu dan adakah wajar jumlah berkenaan dibayar balik kepada pembayar cukai serta pembayar cukai tidak mengemas kini maklumat untuk proses bayaran balik.