--> Skip to main content

Jiwa luhur guru wanita bantu OKU

DUA guru melakukan usaha murni apabila membuka pusat latihan pastri dan kek dengan mensasarkan pelajar orang kurang upaya (OKU) agar mereka memiliki kemahiran untuk berdikari selepas tamat persekolahan kelak.

Begitu pengorbanan guru Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sin Ming, Iznida Hayu Che Hashim, 37, dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamunting Intan Hazlina Shamsul Badri, 40, bagi membantu golongan terbabit yang sering disisih majikan.

"Harapan kami supaya latihan yang dijalani bukan sahaja memberi 'duit poket', malah mereka boleh merancang hala tuju pada masa depan dengan kemahiran dimiliki," katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian mendapati pelajar OKU itu kerap dipinggirkan untuk diterima bekerja kerana tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, selain itu terdapat banyak kes di mana orang ramai termasuk majikan mengambil kesempatan ke atas mereka berikutan kekurangan daripada segi mental.

"Usaha (melatih) ini tidak sesekali menjejaskan tugas hakiki kami di sekolah sebagai guru, malah kami berasa puas kerana dapat memberi ilmu ini," katanya.

Sementara itu, pelatih Muhammad Ammar Mustaqim Jesaan, 16, yang mempunyai masalah pembelajran berkata, dia gembira berpeluang menjalani latihan di pusat berkenaan.

Menurutnya, dia bersama rakan-rakan senasib mampu menambah kemahiran sekali gus dapat berdikari pada masa hadapan selain menambah duit poket.