--> Skip to main content

JIPS teliti rekod, tindakan serbuan pusat judi

JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang meneliti rekod serbuan dan tindakan susulan yang diambil ke atas pusat judi di daerah Sunga Buloh dalam tempoh dua tahun.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, ketika ini Bukit Aman dan JIPS sedang menyiasat kertas siasatan dan serbuan yang dijalankan ke atas premis perjudian untuk tahun lalu dan tahun ini.

"Setakat ini apa yang kita dapati untuk tahun lepas hampir 100 serbuan dijalankan namun JIPS kini sedang menyiasat keputusan hasil serbuan itu.

"Adakah tindakan susulan seperti pendakwaan di ambil, kita akan teliti dan itu adalah fokus tindakan susulan," katanya ketika dihubungi, hari ini

Zamri berkata, selain itu pihaknya juga sedang memeriksa rekod kerja dan pengisytiharan harta anggota dan pegawai polis di daerah Sungai Buloh.

"Kita akan tengok, adakah mereka mempunyai lebihan harta atau sebagainya, ia seiring dengan siasatan yang sedang dijalankan.

"Proses ini mengambil masa sedikit kerana perlu memeriksa pelbagai dokumen," katanya.

Baru-baru ini seorang individu dikenali sebagai Asri Janggut membuat siaran langsung di Facebook mendedahkan kegiatan perjudian haram di daerah Sungai Buloh.

Mohd Asri Hamid, 42, yang juga pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia itu mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Pendedahannya menerusi tiga siaran langsung di Facebook Hot Burger Malaysia kemudian tular di media sosial.

Pendedahan dilakukan Asri Janggut itu juga mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum mereka berdua bertemu di Bukit Aman dipercayai berbincang mengenai isu sama.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pada itu menahan tiga pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar kawasan Sungai Buloh.

Mereka dilapor menerima antara RM300 hingga RM3,500 setiap bulan bagi melindungi sebuah premis di kawasan itu.