--> Skip to main content

JBPM Sabah siap sedia hadapi PRN

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bersiap sedia dari aspek aset dan keanggotaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, persediaan itu termasuk melaksanakan proses sanitasi awam di beberapa kawasan penting sepanjang PRN dijalankan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya dari bilik gerakan operasi negeri.

"Kita bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan bagi pelaksanaan sanitasi awam di tempat mengundi, kita masih menunggu arahan selanjutnya dari bilik gerakan operasi negeri.

"Kita yakin sebelum hari mengundi bermula, bomba akan melakukan pemeriksaan dan pembersihan awam di kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Kamarulzaman memberitahu JBPM Sabah berjaya melakukan sebanyak 1,037 Ops Sanitasi Awam bermula Mac lalu sehingga Ogos tahun ini.

Katanya, antara lokasi yang dijalankan adalah 316 kali di kawasan bandar serta pekan utama, 247 di pejabat kerajaan, 118 kali di pasar tani, 92 kali di kawasan bank.

"Selain itu, turut disanitasi adalah kawasan perumahan, taska, sekolah dan madrasah, kilang, pengangkutan awam, tempat ibadah serta tapak pembinaan.