--> Skip to main content

JBPM Sabah rancang bina BBP atas air

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merancang membina dua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) atas air di Pulau Banggi dan Pulau Mabul.

Sebelum ini, BBP atas air dibina buat pertama kali di Semporna dan ia terbukti mampu memberi tindak balas cepat sekiranya berlaku kecemasan.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, rancangan itu dijangka dimulakan di Pulau Banggi, tahun depan.

Namun katanya, pihaknya masih dalam proses untuk mendapatkan tapak berdekatan dengan Jeti Karakit.

"Proses sudah berada di peringkat akhir dan kita juga sedang memohon kebenaran serta kelulusan peruntukan penuh daripada kerajaan Persekutuan.

"Bagi BBP Pulau Mabul, kita sedang mencari tapak sesuai dan kini dalam proses melawat tapak," katanya kepada pemberita di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada Pegawai bomba Zon Kota Kinabalu Ibu Pejabat JBPM Sabah, hari ini.

Kamarulzaman berkata, untuk projek berkenaan pihaknya mendapat kerjasama dari pihak swasta dan kerajaan negeri.

"Kita akan menempatkan pasukan bomba sepenuh masa selain menempatkan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) iaitu dalam kalangan masyarakat di pulau itu sendiri yang akan dilatih selepas ini.

"BBP atas air pertama yang mula beroperasi hujung tahun lalu, terbukti amat efektif menangani kecemasan di atas air.

"Selepas diwujudkan, masa tindak balas sangat cepat dan mampu menangani isu kesukaran operasi bomba di kawasan penempatan atas air di daerah ini," katanya.

Kamarulzaman berkata, disebabkan itu, JBPM Sabah mahu menambahkan jumlah BBP atas air ini di kawasan Mabul dan Banggi berikutan risiko serta inisiatif awal menangani bencana kebakaran.