--> Skip to main content

Jangkitan COVID-19 di Lubnan lepasi 15,000

BEIRUT: Kementerian Kesihatan Lubnan mengumumkan jangkitan COVID-19 di negara itu melepasi angka 15,000 pada Jumaat ketika negara itu mula melonggarkan perintah berkurung selepas seminggu ia dikuatkuasakan akibat tekanan daripada sektor perniagaan.

Kementerian turut mengumumkan sebanyak 676 jangkitan baharu dan dua kematian dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes direkodkan sebanyak 15,613 kes dengan 148 kematian, sejak jangkitan bermula Februari lalu.

Jangkitan harian meningkat sejak letupan besar di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos lalu yang membunuh lebih 180 orang, ratusan cedera dan memusnahkan sebahagian besar ibu negara itu.

Sebanyak 5,855 kes atau satu pertiga keseluruhan jangkitan, didaftar dalam masa 10 hari.

Pada 21 Ogos lalu, kerajaan memulakan langkah perintah berkurung di seluruh negara kecuali kawasan yang terkesan dengan letupan itu, dan ia termasuklah larangan keluar rumah dari jam 6 petang hingga 6 pagi.

Bagaimanapun, larangan itu dilonggarkan pada Jumaat selepas protes daripada sektor swasta termasuk pemilik perkhidmatan serta perniagaan pelancongan yang sudah terkesan akibat ekonomi terburuk negara itu, berdekad lamanya.

Larangan keluar rumah dilonggarkan kepada jam 10 malam, malah pusat beli-belah, restoran, kedai kopi serta gimnasium dibenarkan beroperasi.

Pada Ogos lalu, pemangku Menteri Kesihatan, Hamad Hassan memberi amarah bahawa hospital negara itu sudah mencapai kapasiti maksimum untuk merawat pesakit wabak itu selepas letupan itu turut mengganggu pusat kesihatan berkenaan.

Ketua hospital awam, Firass Abiad, tidak bersetuju dengan langkah melonggarkan perintah itu.

"Objektif perintah berkurung itu jelas tidak tercapai," katanya di laman Twitter selepas 689 kes positif direkodkan dalam tempoh 24 jam. - AFP