--> Skip to main content

Jangan ingkar arahan kuarantin rumah

WARGA bandar raya ini yang dibenarkan pulang selepas sempadan antara Malaysia dan Singapura dibuka mulai semalam diberi amaran tegas akan dipenjarakan jika ingkar arahan kuarantin rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri berkata, amaran itu dibuat bagi memastikan warga bandar raya ini yang dibenarkan menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman mereka supaya patuh sepenuhnya arahan terbabit.

Katanya, anggota penguat kuasa sudah dikerahkan supaya mengawasi setiap warga bandar raya yang diberi arahan kuarantin di rumah sepanjang masa.

"Kerajaan mempunyai cara untuk mengesan mereka sekiranya gagal mematuhi arahan kuarantin wajib di rumah selama 14 hari.

"Kita boleh tahu ke mana sahaja mereka pergi. Jadi sebelum mereka (ingkar arahan kuarantin) ditahan dan dipenjarakan seperti mana berlaku di Kedah, lebih baik mereka mematuhi arahan ini.

"Ia untuk memastikan kesejahteraan mereka, keluarga dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya," katanya pada sidang media selepas meninjau pembukaan sempadan Malaysia-Singapura di Johor Bahru, hari ini.

MOHD Solihan Badri bertemu dengan rakyat Malaysia ketika membuat tinjauan di Tambak Johor yang bekerja di Singapura melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO ihsan Pejabat Exco Kerja Raya MOHD Solihan Badri bertemu dengan rakyat Malaysia ketika membuat tinjauan di Tambak Johor yang bekerja di Singapura melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO ihsan Pejabat Exco Kerja Raya

Terdahulu, beliau bersama Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir meninjau perjalanan hari pertama rentas sempadan kedua-dua negara yang bermula semalam.

Sementara itu, Mohd Solihan berkata, hanya warga Johor Bahru yang dibenarkan dan diberi arahan kuarantin di rumah manakala selain mereka, perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di hotel.

"Kos penginapan kuarantin ini ditanggung sepenuhnya oleh mereka.

"Berdasarkan tinjauan tadi, perjalanan hari pertama rentas sempadan berjalan lancar apabila mereka dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 termasuk ujian 'swab' di kaunter Kementerian Kesihatan," katanya.