--> Skip to main content

Jabatan Audit kemuka 23 syor

JABATAN Audit Negara (JAN) mengemukakan 23 syor terhadap pengauditan pematuhan yang dilaksana terhadap tiga kementerian dan tujuh jabatan Persekutuan bagi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019.

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, kementerian terbabit adalah Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan, manakala jabatan pula ialah Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Politeknik, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Syor-syor ini bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil oleh ketua jabatan berkenaan," katanya dalam sidang media mengenai LKAN 2019 dan LKAN 2019 Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, di Putrajaya, hari ini.

Nik Azman berkata, pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan itu adalah pendekatan baharu dilaksanakan JAN, merangkumi penyata kewangan dan pengurusan kewangan selaras dengan International Standards of Supreme Audit Institutions (ISSAI) 4000 dan 4100.

"Pengauditan pematuhan ini menggunakan pendekatan 3P1K iaitu mengenal pasti elemen Pembaziran, Pemborosan, Penyelewengan dan Ketirisan wang awam," katanya.

Beliau berkata, pengauditan pematuhan yang dilaksanakan merangkumi perolehan kontrak dan sebut harga di Kementerian Pertahanan, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, dan Politeknik; serta pematuhan terhadap prosedur kehilangan wang awam dan aset alih di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pendidikan.

Katanya, pengauditan pematuhan juga dilaksana bagi pembayaran balik cukai di JKDM dan LHDN; bayaran perkhidmatan penyenggaraan di TUDM dan PDRM; serta taksiran duti import alkohol di JKDM.

Dalam pada itu, Nik Azman berkata, JAN juga mengemukakan 50 syor terhadap pengurusan syarikat Persekutuan untuk diperbaiki kelemahan yang dilaporkan dalam LKAN 2019 Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, sebanyak sembilan pengauditan pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan bagi LKAN 2019 Siri 1 itu.

"Pengauditan merangkumi tiga aspek iaitu tadbir urus korporat, pengurusan aktiviti dan analisis kedudukan kewangan syarikat," katanya, sambil menambah pengauditan dijalankan selaras dengan Seksyen 5 (1)(d), Akta Audit 1957.

Syarikat yang diaudit ialah TH Hotel & Residence Sdn Bhd; Amanah Raya Bhd; Small Medium Enterprises Development Bank Malaysia Bhd; Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd; UDA Holdings Bhd; CIDB E-Construct Services Sdn Bhd; Talent Corporation Malaysia Bhd; Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi dan Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia.

Nik Azman berkata, LKAN 2019 Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan dan LKAN Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

LKAN Tahun 2019 dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara di alamat http://www.audit.gov.my selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.