Skip to main content

Isaias 'banjirkan' Bahamas, menuju ke Florida

MIAMI: Taufan Isaias yang membadai Bahamas semalam meninggalkan hujan lebat di negara terbabit, sebelum bergerak ke 'sasaran' seterusnya, iaitu Florida.

Taufan tahap satu itu dijangka menyebabkan hujan menjangkau 20 sentimeter di kepulauan kepulauan yang terletak di kawasan paling tenggara, sebelum menuju ke Amerika Syarikat (AS).

Setakat jam 2 petang tadi (waktu tempatan), Isaias sedang mengukuh dan mengumpulkan kekuatan maksimum, dengan kelajuan angin hampir 120 kilometer sejam serta dilihat mula muncul di sekitar Selat Florida, antara Cuba dan Florida Keys.

Pusat Taufan Kebangsaan berpangkalan di Miami menjangkakan kekuatan Isaias kembali mengukuh sebelum menghampiri perairan tenggara Florida, hari ini.

Kawasan berkenaan setakat ini dilaporkan sudah dibadai hujan bersama tiupan angin kencang, semalam, sekali gus menyaksikan Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan keadaan darurat di Florida sebelum ketibaan taufan Isaias bagi memudahkan penyaluran dana daripada Kerajaan Persekutuan.

Gabenor Florida, Ron DeSantis, berkata ramalan setakat ini menunjukkan taufan Isaias semakin menghampiri perairan timur Florida dan dikategorikan sebagai kategori satu, petang ini dan esok.

"Perkara paling penting yang kita ingin orang ramai lakukan sekarang ialah untuk kekal berwaspada," katanya.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) menjangkakan bahawa ribut yang di sekitar perairan timur Florida dikhuatiri menyebabkan ombak setinggi 1.2 meter di sesetengah kawasan.

Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi Bahamas, Jeffrey Simmons, berkata kawasan yang terjejas teruk berikutan ribut daripada Isaias ialah New Providence, iaitu kawasan paling padat dengan penduduk di pulau berkenaan. - AFP