Skip to main content

Iran tahan ketua 'kumpulan pengganas' berpusat di AS

TEHRAN: Iran mengesahkan menahan ketua 'kumpulan pengganas' berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang dituduh menjadi dalang di sebalik insiden pengeboman maut di bandar selatan Shiraz dan beberapa kegagalan serangan lain.

Memetik kenyataan daripada Kementerian Perisikan yang disiarkan melalui televisyen kebangsaan, Jamshid Sharmahd yang memimpin operasi bersenjata dan sabotaj di Iran kini berada dalam tangan pihak berkuasa keselamatan Iran.

Bagaimanapun, ia tidak menjelaskan lebih lanjut berhubung lokasi dan bila pemimpin kumpulan pembangkang diraja itu yang dikenali sebagai Perhimpunan Kerajaan Iran atau Tondar itu ditahan.

Iran mengecam musuh utamanya iaitu AS, yang melindungi Sharmahd dan 'menyokong pengganas dikenali yang mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa tindakan keganasan' di dalam negara.

"Rejim itu harus menjawab berhubung sokongannya terhadap kumpulan pengganas ini dan beberapa kumpulan lain serta penjenayah yang mengatur operasi bersenjata menentang penduduk Iran dari Amerika dan menumpahkan darah warga Iran," kata kenyataan Kementerian Luar.

Kementerian Perisikan berkata, Sharmahd mengatur insiden pengeboman pada 12 April 2008 di masjid yang dipenuhi umat Islam di Shiraz, sekali gus mengorbankan 14 orang serta 215 lagi mangsa cedera.

Susulan itu, Iran menjatuhkan hukuman gantung terhadap tiga lelaki yang bersalah terhadap insiden pengeboman itu, dengan menyatakan mereka mempunyai hubungan dengan kumpulan monarki.

Dikatakan bahawa mereka menerima arahan daripada ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) Iran yang disokong AS, dikenali pada masa itu sebagai 'Jamshid' yang cuba membunuh pegawai atasan di Iran.

Kenyataan dikeluarkan kelmarin menyebut bahawa Tondar merancang beberapa 'operasi besar' lain namun gagal. - AFP