--> Skip to main content

Instafamous Kantoi Cuba Curi 21 Helai Pakaian?

Instafamous Kantoi Cuba Curi 21 Helai Pakaian? Seorang personaliti media sosial yang turut bertugas sebagai guru tuisyen ditahan pihak polis selepas disyaki cuba mencuri 21 helai pakaian bernilai Rm4,310 di sebuah butik terkemuka di ibu negara pada Sabtu.

Memetik laporan Harian Metro, wanita berusia 28 tahun itu ditahan oleh petugas di butik pakaian berkenaan bersama kesemua pakaian yang cuba dicuri di pintu keluar premis terbabit dan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis kira-kira jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi, berkata tindak tanduk suspek yang mencurigakan dikesan seorang penyelia di situ selepas terlihat suspek memasukkan beberapa helai baju ke dalam beg milik butik pakaian terbabit.

"Suspek dilihat tidak membuat sebarang pembayaran dan terus keluar menyebabkan penggera pada alat pengesan di pintu keluar butik itu berbunyi.

"Penyelia butik terbabit kemudian menahan suspek selepas dia gagal menunjukkan resit pembelian sebelum melaporkannya kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek kini direman selama dua hari untuk membantu siasatan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan yang membawa hukuman 10 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Polis turut merampas barang kes terdiri daripada 21 helai pakaian dianggarkan bernilai RM4,310 yang cuba dicuri suspek dalam kejadian itu.

Sementara itu, meninjau ruangan media sosial Twitter dan Facebook, rata-ratanya memetik nama seorang wanita yang pernah terbabit dalam rancangan realiti televisyen sebelum ini.

Sumber: Harian Metro, Berita Harian, Twitter