--> Skip to main content

HKL nafi mesej tular

HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) menafikan seorang pegawai perubatannya mengeluarkan kenyataan menyentuh dasar dan isu gerak kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti yang tular di media sosial sejak Mac lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Heric Corray berkata, pihaknya menafikan berita itu yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp yang memetik seorang Pegawai Perubatan bernama Dr Chong Yit Khang.

Menurutnya, pegawai perubatan itu sudah dikenal pasti dan diminta untuk memberikan maklum balas berhubung isu itu.

"Siasatan mendapati nama dan jawatan beliau digunakan tanpa pengetahuan dan isu yang terkandung di dalam rantaian mesej itu adalah palsu dan tidak dikeluarkan olehnya.

"Pegawai Perubatan terbabit turut membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Heric berkata, HKL memohon masyarakat berhati-hati dan tidak menyebarkan sebarang berita atau maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan keresahan dan kerisauan orang ramai.

"Sebarang maklumat berkenaan Covid-19 di Malaysia, sila rujuk kepada sumber rasmi KKM (www.moh.gov.my)bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih mengenai Covid-19," katanya.