--> Skip to main content

Hidup dihurung lalat

SEJAK 20 tahun lalu kira-kira 1,000 penduduk empat kampung di Mukim Jeram, Tunjang, Kubang Pasu hidup tidak selesa akibat pencemaran bau dan lalat dipercayai dari ladang ternakan ayam berhampiran.

Kampung terbabit ialah Kampung Tanjung, Kampung Guar, Kampung Gelong Rambai dan Kampung Rang.

Penduduk Kampung Tanjung, Hajar Ahmad, 67, berkata masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu mengganggu kehidupan harian mereka.

Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk malu ketika menghidangkan makanan kepada tetamu kerana dihurung lalat yang banyak.

"Majlis kenduri penduduk menjadi cacat apabila hidangan dipenuhi lalat selain bau busuk yang menyebabkan hilang selera makan," katanya yang tinggal kira-kira 20 meter dari ladang itu.

Penduduk Kampung Guar, Asri Abdullah, 50, berkata serangan lalat di kampungnya bertambah serius apabila ayam dibawa keluar dari ladang.

Katanya, ada penduduk terpaksa tidur menggunakan kelambu pada waktu siang kerana ketika itu waktu lalat paling banyak.

"Kami sangat berharap, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan dapat mengatasi masalah ini secara bijaksana bagi mewujudkan situasi menang-menang," katanya.

Sementara itu, masalah yang dihadapi penduduk mukim berkenaan mendapat perhatian kerajaan negeri apabila tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) turun padang meninjau keadaan di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri,

Dr Robert Ling Kui Ee, berkata pihaknya akan mengarahkan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melakukan siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Penternak ayam juga sudah menasihatkan menyembur racun serangga bagi membunuh lalat dengan lebih kerap supaya masalah ini dapat diatasi.

"Sistem perparitan di sini juga kurang memuaskan apabila dipenuhi dengan sampah dan air sukar mengalir dengan baik ,"katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin dan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat Halimaton Shaadiah Saad.