--> Skip to main content

Hatrik Endrik benam Kelantan

KOTA BHARU: Pemain import Pulau Pinang, Endrick Dos Santos muncul wira pasukan apabila meledak hatrik menewaskan Kelantan 3-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Pemain tengah itu mengambil peluang menjaringkan tiga gol hasil dua sepakan penalti pada minit ke 52, 65 dan satu gol pada masa tambahan.

Terdahulu skuad Harimau Kumbang bermula garang apabila dilihat menguasai perlawanan dengan serangan dan asakan terhadap pasukan kendalian Yusri Che Lah.

Dalam usaha mengekang kemaraan pelawat, Kelantan dikejutkan dengan sepakan penalti buat Pulau Pinang selepas Rafael Vitor Santos dijatuhkan pertahanan tuan rumah pada minit ke-50.

Ternyata, peluang itu digunakan sebaiknya import Pulau Pinang, Enderick yang menyempurnakan sepakan untuk gol pertama Pulau Pinang.

Hasil jaringan itu nyata memberi kesan kepada corak permainan Kelantan terutamanya di bahagian tengah apabila dilihat gagal mengawal serangan daripada pihak lawan.

Nasib terus menyebelahi Pulau Pinang apabila sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Hamdan Awang.

Endrick sekali lagi tampil menyempurnakan penalti untuk gol kedua pelawat.

Kelantan terus derita apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila pertahanan kanan, Mohamad Khairul Asyraf Ramli dilayangkan kad merah pada minit ke-68 selepas memperoleh dua kad kuning.

Pulau Pinang terus ghairah memburu kemenangan apabila Endrick mencipta peluang hingga saat akhir dan berjaya lolos ke gawang Kelantan pada minit 92.

Keputusan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan.