--> Skip to main content

Hatrik Depay benam Dijon

LYON: Memphis Depay meldak hatrik termasuk dua penalti ketika pasukan layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara, Lyon memulakan musim liga Perancis dengan kemenangan 4-1 mengatasi Dijon awal pagi tadi.

Penyerang Belanda itu meraih gol pertamanya dalam Ligue 1 sejak Disember apabila terlepas separuh kedua musim yang dipendekkan akibat COVID-19 kerana kecederaan lutut sebelum Krismas.

"Saya sangat gembira menjaringkan tiga gol malam ini. Secara peribadi ia bukanlah perlawanan terbaik saya. Kami perlukan kemenangan dan itulah yang kami lakukan," kata Depay.

"Ia perasaan yang pelik apabila bergerak datipada satu musim ke musim berikutnya dengan sangat cepat," katanya dengan perlawanan itu hadir hanya sembilan hari selepas Lyon tewas 3-0 kepada Bayern di Lisbon.

Pengarah sukan Lyon, Juninho berkata akan ada pemain berpindah sebelum penamat musim perpindahan pada 5 Oktober ketika kelab berkenaan akan melalui musim pertama tanpa saingan Eropah sejak 1996-97.

Depay, bersama Houssem Aouar dan Moussa Dembele, semuanya dikaitkan dengan perpindahan tetapi pemain berusia 26 tahun itu menegaskan dia kini fokus membantu Lyon cuba menamatkan dominasi Paris Saint-Germain.

"Saya fokus kepada OL. Saya mengimpikan kelab besar tetapi saya tidak sabar melakukan yang terbaik di sini," kata Depay. - AFP