--> Skip to main content

Hati terhibur di Zoo Taiping dan Night Safari

MELIHAT gelagat pelbagai spesies haiwan liar, mendengar ngauman 'pak belalang', terkinja-kinja orang utan apabila dipanggil, teruja menyaksikan burung, unggas berwarna-warni serta banyak lagi hidupan flora dan fauna membuatkan sesiapa sahaja akan terhibur.

Semuanya itu sudah pasti boleh ditemui di Zoo Taiping dan Night Safari (ZTNS). Bagi yang belum pernah tiba ke sini, masukkan ia dalam pakej percutian bagi meneroka lebih banyak lagi yang menarik.

Istimewanya, ZTNS terus unggul sebagai satu-satunya zoo di utara Semenanjung Malaysia yang bercirikan pameran haiwan dengan konsep terbuka yang mengutamakan habitat asal haiwan.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila ZTNS semakin menampakkan kejayaan melalui program pembiakan beberapa spesies haiwan tempatan yang terancam termasuk Harimau Malaya, serigala 'Red Dhole @ Cuan alpinus', Orang Utan Borneon, Burung Botak Upeh, dan Gajah Malaysia.

Kunjungan penulis ke zoo terbabit, baru-baru ini mendapati biarpun sudah menjangkau usia 59 tahun dan zoo tertua di Malaysia, namun ia masih bergerak terhadapan dalam usaha pembiakan, pemuliharaan dan pembelajaran mengenai hidupan liar di negara ini.

GAJAH bebas bermandi. - Foto/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri GAJAH bebas bermandi. - Foto/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Wabak COVID-19 yang nyata menjejaskan sektor pelancongan sekali gus mempengaruhi pelbagai program yang dirangka pihak zoo, bagaimanapun membuka ruang melakukan refleksi dan penelitian mengenai impak aktiviti manusia, selain peranan dalam menjaga keseimbangan alam semula jadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud, berkata penutupan ZTNS bermula 18 Mac sehingga 14 Jun lalu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan kemerosotan 74.99 peratus atau kira-kira 116,094 pelawat berbanding tempoh sama pada tahun lalu, membabitkan angka kutipan yang merosot sebanyak RM1.4 juta.

"Bagaimanapun, jumlah pelawat meningkat sepanjang Julai iaitu 61,287 sejurus ZTNS kembali dibuka bermula 15 Jun lalu, menyaksikan peningkatan sebanyak 38.2 peratus daripada 44,332 pelawat pada 2019 dalam tempoh sama," katanya ditemui Hari Konservasi Harimau dan Gajah Peringkat Kebangsaan 2020 di zoo berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, projek menaiktaraf kandang haiwan di zoo berkenaan melalui usaha sama agensi luar seperti pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut menyumbang kepada pemantapan pengurusan zoo, selain manfaat kepada kepada haiwan yang ditempatkan.

Projek termasuk Pameran Gajah Sungai Perak, Savanna Afrika, pameran orang utan, dan hutan tanah pamah rendah di mana kebajikan dan keselamatan haiwan yang ditempatkan lebih terjamin sekali gus menyumbang kepada kejayaan pembiakan haiwan dalam kurungan secara ex-situ (mengekalkan spesies habitat asal).

AKTIVITI Night Safari dapat melihat pelbagai gelagat haiwan di Zoo Taiping. Foto/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri AKTIVITI Night Safari dapat melihat pelbagai gelagat haiwan di Zoo Taiping. Foto/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kelahiran tiga anak Harimau Malaya, pada 12 April lalu, iaitu ketika pelaksanaan PKP membuktikan apabila spesies haiwan itu atau nama saintifiknya, Panthera tigris jacksoni yang pada asalnya adalah spesies haiwan yang hidup secara bersendirian atau 'solitary', sejak kelahiran terakhir pada 2009.

Spesies ikonik haiwan

Pengarah Zoo Taiping yang juga Pengerusi Persatuan Taman-Taman Zoologikal dan Akuaria Malaysia (MAZPA), Dr Kevin Lazarus, ZTNS menjelaskan ZPT di utara Semenanjung Malaysia, satu-satunya yang menempatkan spesies berkenaan setakat ini.

Kelahiran tiga anak Harimau Malaya berkenaan menjadikan sebanyak lapan ekor spesies berkenaan ditempatkan di ZTNS merangkumi tiga harimau jantan dan lima betina, iaitu tujuh daripadanya dilahirkan di ZTNS.

Survei Harimau Kebangsaan Pertama (NTS) yang dijalankan di Semenanjung Malaysia bermula 2016 membabitkan kawasan kajian seluas 44,000 hektar menunjukkan anggaran kurang daripada 200 ekor Harimau Malaya, sekali gus menyebabkan ia berada pada tahap sangat membimbangkan.

ZOO Taiping menerima kunjungan pelancong domestik selepas dibenarkan dibuka baru-baru ini. Foto/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri ZOO Taiping menerima kunjungan pelancong domestik selepas dibenarkan dibuka baru-baru ini. Foto/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan Harimau Malaya sangat penting kepada negara kerana ia adalah spesies ikonik yang turut menjadi simbol dalam Jata Negara, selain ikon dalam pelbagai agensi sama ada kerajaan mahupun swasta.

Program 'Night safari'

Selain itu, Kevin berkata, kejayaan membiak dan program pelepasan Burung Botak Upeh atau nama saintifiknya Mycteria cinerea sama ada yang ditempatkan dalam kurungan mahupun dibiarkan bebas secara 'free raging', turut menandakan persekitaran kawasan luar zoo terbabit amat 'mesra' flora dan fauna.

Sentuhan inovasi melalui pembukaan Night Safari di zoo berkenaan bermula Jun 2003 dianggap sebagai produk pelancongan ulung kerana yang pertama.

Program ini adalah sangat jarang didapati di negara ini dan ia ternyata memberikan nilai tambah sebagai tarikan kepada pelancongan, selain dapat meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan haiwan terbabit.

Justeru, tidak rugi seandainya ZTNS menjadi lokasi pengembaraan anda bersama keluarga tersayang ketika ini dalam usaha membantu membangunkan kembali sektor pelancongan domestik.

Pada masa sama, aktiviti sebegini juga sebagai menyokong usaha pemeliharaan haiwan dan pemuliharaan alam.

Kunjungan ke ZTNS bukan sekadar melihat haiwan dalam sangkar, namun persekitaran yang menyamai habitat asal, ditambah pula jika menyaksikannya pada malam hari iaitu waktu aktif bagi kebanyakan haiwan menerusi 'Night Safari' semestinya menggamit lebih keseronokan serta kesedaran mencintai alam sekitar.

ORANG ramai teruja melihat pelbagai binatang yang ada di ZOO Taiping. Foto/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri ORANG ramai teruja melihat pelbagai binatang yang ada di ZOO Taiping. Foto/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri