--> Skip to main content

Harimau Selatan benam Tok Gajah

KUANTAN: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super selepas menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur, di sini, sebentar tadi.

Tiga gol pada separuh masa pertama sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat skuad Harimau Selatan.

Pada perlawanan itu, pelawat tidak menunggu lama untuk membolosi gawang tuan rumah menerusi Leandro Velazquez hasil sepakan percuma yang menewaskan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli seawal minit keempat.

Pada minit ke-14, pintu gol tuan rumah dibolosi kali kedua yang dijaringkan oleh penyerang, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman.

Pemain tengah Harimau Selatan, Gonzola Gabriel menambah duka skuad Tok Gajah apabila mudah menyempurnakan penalti selepas Muhammad Ramadhan dijatuhkan oleh Herold Goulon pada minit ke-34.

Tersentak tiga gol itu, tuan rumah mula mengatur strategi dan serangan yang menghasilkan gol menerusi Mohd Faisal Abdul Halim bagi meletakkan kedudukan 1-3 pada minit ke-39.

Sebelum berakhir separuh masa pertama, tandukan Goulon berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias untuk meraoatkan jurang 2-3.

Bersambung babak kedua, Pahang yang ketinggalan 2-3 berusaha mendapatkan gol penyamaan tetapi pertahanan kental lawan menggagalkan usaha itu.

Misi skuad Tok Gajah untuk sekurang-kurangnya mengikat skuad Harimau Selatan gagal apabila akur tewas 2-3 di halaman sendiri.