--> Skip to main content

Harga sawit naik, untung bersih Sime Darby Plantation melonjak

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sime Darby Plantation Bhd (SDP) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2020 melonjak kepada RM378 juta daripada RM27 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Syarikat perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatannya meningkat kepada RM3.21 bilion berbanding RM2.86 bilion.

Bagi separuh pertama 2020, SDP melaporkan keputusan tahun ke tahun yang lebih baik selepas dipacu oleh harga minyak sawit mentah dan isirong sawit yang kukuh.

Keuntungan bersih untuk enam bulan pertama tahun ini adalah RM846.00 juta daripada RM101.00 juta manakala perolehan adalah RM6.26 bilion berbanding RM5.86 bilion sebelum ini.

"Ini membantu mengurangkan kesan pandemik COVID-19 ke atas keputusan anak syarikat hiliran, Sime Darby Oil (SDO).

"Margin operasi pukal SDO serta permintaan untuk produk paket daripada sektor makanan dan minuman, terutamanya di Eropah telah terjejas oleh sekatan yang dikuatkuasakan banyak negara di dunia," kata Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha dalam satu kenyataan berasingan.

SDP menjangkakan permintaan akan pulih pada separuh kedua 2020 berikutan banyak negara mula melonggarkan sekatan dan membenarkan perniagaan untuk menambah stok.

"Kami menjangkakan harga kekal stabil pada separuh kedua tahun ini berikutan kebimbangan mengenai bekalan minyak makan disebabkan potensi La Nina," tambah beliau.

Kumpulan mengumumkan dividen interim sebanyak 2.57 sen sesaham dan dividen interim khas berjumlah 1.45 sen sesaham, yang akan dibayar kepada para pemegang saham menjelang 26 November 2020.

SDP ketika mengulas mengenai risiko kelemahan, menjelaskan kekurangan buruh asing yang semakin kritikal di Malaysia akibat sekatan perjalanan yang dikenakan bagi mencegah penyebaran COVID-19, dijangka akan memberi kesan kepada penuaian tanaman.

Oleh itu, bagi mengurangkan kekurangan tenaga kerja, ia secara aktif terpaksa meneroka semua saluran yang ada, termasuk mengambil pekerja tempatan serta meningkatkan penggunaan pendigitalan dan mekanikal.

Tanpa mengambil kira sebarang keabnormalan cuaca, kumpulan menjangkakan penghasilan tandan buah segar bagi tahun kewangan penuh 2020 kekal tidak berubah.

– Bernama