--> Skip to main content

Haqiem Rusli Buka Kedai Makan Pada Usia 22 Tahun

Meskipun perniagaan yang diusahakan sudah beberapa kali 'gulung tikar' bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat penyanyi dan komposer Haqiem Rusli untuk terus berkecimpung dalam dunia tersebut dan berjaya.

Haqiem berkata apa yang berlaku dalam perniagaan sebelum ini adalah pengalaman berharga untuk dia bangkit mengejar cita-citanya sebagai usahawan. Malah, dia turut berkawan dengan usahawan untuk belajar mengenai selok belok perniagaan.

BACA: Haqiem Rusli Tak Suka Perempuan Over, Suka Bertudung Bawal

"Sebelum ini, banyak bisnes saya usahakan tidak menjadi. Antara sebabnya adalah lokasi perniagaan kurang sesuai dan tiada kumpulan membantu apabila saya ada banyak komitmen.

"Namun, bagi saya, semua itu pengalaman. Kalau kita gagal sekali, bukanlah bermakna kita gagal selama-lamanya. Saya banyak berkawan dengan usahawan. Merekalah yang memberi saya semangat agar tidak berputus asa.

"Mereka menggalakkan saya menceburi bidang perniagaan berasaskan makanan kerana lebih terjamin. Biar dalam apa situasi sekalipun, orang akan makan," katanyanya kepada BH Online.

Mengakui industri seni ada pasang surut membuatkan Haqiem terdetik untuk membuka kedai makan dami masa depannya. Meskipun sibuk dengan kerjaya seni, Haqiem berkata dia akan tetap turun ke kedai untuk memantau.

"Saya suka memikirkan apa yang akan berlaku pada masa depan. Adakah saya akan terus kekal dalam industri atau sebaliknya, saya sendiri tak tahu.

"Justeru, perniagaan ini adalah sebagai persediaan untuk menampung kehidupan saya pada masa akan datang.

"Kerjaya seni saya tetap seperti biasa. Berikutan kedai ini baru dibuka, dalam masa seminggu pertama, saya akan berada di sini untuk memantau sebelum sibuk dengan komitmen nyanyian," katanya.