--> Skip to main content

Hanya kawan

KUALA LUMPUR: Ironinya, julung kali diketemukan dalam musim pertama drama rantaian, 7 Hari Mencintaiku, gandingan Syazwan Zulkifly dan Wan Sharmila belum cukup meninggalkan impak dalam kalangan penonton.

Namun, apabila mereka digandingkan sekali lagi dalam musim kedua drama yang mencetuskan fenomena itu, apatah lagi karakter mereka dikembangkan, barulah magis Syazwan dan Wan Sharmila dirasakan hingga timbul usikan nakal ada apa-apa antara mereka di luar lokasi.

Biarpun sekadar watak pembantu, karakter dilakonkan Syazwan dan Wan Sharmila sebagai pasangan suami isteri 'menjadi' dan meninggalkan kesan kepada penonton sepanjang musim kedua drama 7 Hari Mencintaiku disiarkan TV3.

Syazwan berkata, kali pertama digandingkan dengan Wan Sharmila pada 2013.

"Kami sudah beberapa kali digandingkan termasuk terbaharu, dua musim drama 7 Hari Mencintaiku. Selepas produksi ini, kami diketemukan lagi dalam telefilem arahan Hashim Rejab, Kala Malam sebagai pasangan bercinta.

"Saya memang kerap bekerja dengan Lala (panggilan mesra Wan Sharmila dalam kalangan teman rapat) dengan melakukan pelbagai karakter.

"Namun, saya paling suka Lala yang bertudung sekarang. Lakonannya lebih 'nampak' dan ketara. Kalau mahu ambil pelakon berbakat, carilah Lala, pasti dia tidak mengecewakan.

"Lala adalah pelakon yang sangat menyenangkan. Dia juga faham dengan skrip. Tidak ada masalah untuknya jika mendapat skrip panjang atau melakonkan babak berat," katanya memuji Wan Sharmila.

Syazwan Zulkifly dan Wan Sharmila bersama barisan pelakon drama 7 Hari Mencintaiku yang mencipta fenomena, baru-baru ini. Syazwan Zulkifly dan Wan Sharmila bersama barisan pelakon drama 7 Hari Mencintaiku yang mencipta fenomena, baru-baru ini.

Tambah Syazwan, dia cukup menghormati Lala sebagai pelakon bertudung yang mencari rezeki dalam dunia lakonan.

"Saya lihat, sesetengah pelakon bertudung meletakkan syarat itu dan ini... Lala terbuka dan menjaga batasan. Selagi berlapik untuk babak berpegangan dengan pelakon bukan muhrim, Lala masih okay. Sama juga untuk situasi seperti atas faktor keselamatan atau insiden tidak terduga, Lala okay.

"Lala tidak meletakkan syarat atau beri amaran kepada teman gandingan agar jangan lebih-lebih (dalam menghidupkan babak).

"Ini memudahkan tugas kami apabila berlakon bersama," katanya kepada BH Online.

Menyentuh soal personaliti, Syazwan tidak menafikan Wan Sharmila memiliki ciri-ciri isteri ideal.

"Siapa yang tidak mahu wanita cantik, lembut, berdikari dan berkerjaya seperti dirinya. Senang cerita, dia memang sesuai dijadikan calon isteri. Siapa yang hendak cuba tawan hati dirinya, silalah," katanya.

Diusik soal gosip bercinta, Syazwan tidak melatah.

"Jika diikutkan, sejak kami digandingkan dalam drama terdahulu, kami serasi cuma barangkali tidak diperkatakan. Apabila berlakon musim kedua drama 7 Hari Mencintaiku kami mula menarik perhatian ramai.

"Saya percaya olahan dan plot drama itu membuatkan penonton teruja. Saya masih ingat, ketika mendapat skrip, saya hubungi Lala dan bertanya mengenai pelbagai perkara. Memang dialog kami sangat 'sweet' dan sebagai pelakon, kami perlu menghidupkannya.

"Tidak sangka ramai peminat suka sehingga kami cuba 'dikenen-kenenkan'," katanya.

Namun, Syazwan menganggap semua itu sekadar usikan nakal peminat.

"Jika gandingan kami digemari dan membuat ramai penonton tersentuh, ia dianggap. Hakikatnya, kami hanya kawan sampai hari ini... Tidak ada yang lebih-lebih," katanya.

Sebagai pelakon, Syazwan sentiasa terbuka mencipta keserasian dengan pelakon gandingan.

"Mungkin kami sudah kerap bekerjasama, keserasian sudah wujud. Saya selalu buli dan sakat Lala, dari luar set hingga ketika penggambaran," katanya.

Syazwan sedar sebagai pelakon, dia tidak boleh sombong.

"Kita kena campur dengan semua orang, tidak kira pelakon atau kru. Kita kena bergaul termasuk dengan pekerja belakang tabir.

"Jangan datang set menyendiri di bilik atau duduk dalam kereta. Kita kena bekerja dalam keadaan menyeronokkan supaya semua boleh main peranan masing-masing," katanya.

Makin dikenali, Syazwan dihujani tawaran lakonan satu persatu.

"Selain telefilem Kala Malam, saya terbabit dengan drama 70 episod Takdir Kita. Saya pegang karakter budak flat yang berubah jadi ketua gangster.

"Saya juga berlakon dalam drama Langkah Terakhir membawa tiga karakter termasuk sebagai pesakit skizofrenia. Drama genre 'thriller' ini turut dibintangi Azhan Rani," katanya.