--> Skip to main content

Hampir sejuta penjaja akan dibantu

HAMPIR sejuta penjaja tepi jalan yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya ketika penularan pandemik Covid-19 akan dibantu kerajaan.

Mereka termasuk penjaja yang sekadar memperoleh sumbangan secara peribadi, menerusi beberapa pakej rangsangan oleh kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, mereka tidak menerima sebarang pembiayaan kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaffar berkata, beliau sudah mengarahkan kementerian untuk membuat kajian berapa jumlah penjaja ini di seluruh negara.

"Saya juga berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan mendapat data berkaitan, namun Insya-Allah apabila 'census' (bancian) yang berlaku sekarang ini terlaksana, dalam masa tiga bulan akan datang, maklumat terperinci bakal diperoleh mengikut negeri.

"Secara keseluruhannya, hampir 80 peratus (penjaja ini) terdiri daripada golongan Bumiputera, manakala selebihnya iaitu 20 peratus adalah Cina dan India," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, ada segelintir penjaja kecil-kecilan di seluruh negara belum berdaftar, dan mereka akan dibantu dari segi proses pendaftaran.