--> Skip to main content

Hamilton tawan GP British buat kali ketujuh

SILVERSTONE, United Kingdom: Lewis Hamilton meraih kemenangan menakjubkan apabila melakar penamat penuh dramatik untuk memenangi Grand Prix (GP) British, sekalipun berdepan tayar pancit pada pusingan terakhir.

Ini adalah kejuaraan ketujuh buat juara dunia enam kali itu.

Tayar depan kiri jentera Mercedes yang dikendalikan pelumba itu gagal berfungsi pada pertengahan pusingan terakhir, namun dia bertahan untuk menamatkan perlumbaan mengatasi pelumba Red Bull, Max Verstappen.

Verstappen seharusnya boleh memenangi perlumbaan itu sekiranya tidak berhenti untuk menukar tayar dalam misi meraih mata untuk catatan sepusingan terpantas sementara tempat ketiga menjadi milik pelumba Ferrari, Charles LeClerc.

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas turut berdepan situasi tayar pancit pada dua pusingan lebih awal sekali gus gagal mengutip sebarang mata.

Pelumba Finland itu menamatkan saingan di kedudukan ke-11 dan ketinggalan 30 mata di belakang Hamilton.

Pelumba McLaren, Carlos Sainz muncul pelumba ketiga berdepan masalah seperti Hamilton dan daripada tempat keempat, dia menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-13.

- AGENSI