--> Skip to main content

Hamil Anak Kedua, Scha Alyahya Benci Pegang Telefon

Mengumumkan bakal menimang cahaya mata kedua pada Khamis lalu dan kandungan kini sudah memasuki usia empat bulan, Scha Alyahya mengakui dirinya kini berada dalam fasa tidak suka memegang telefon.

Mendedahkan perkara itu menerusi Insta Story, Scha turut memohon maaf seadainya dia tidak memuat naik sebarang perkembangan terbaru buat para peminatnya kerana buat masa ini dia tidak memeriksa telefon bimbitnya.

BACA: Scha Alyahya, Awal Ashaari Bakal Timang Anak Kedua

"Maaf saya tidak memeriksa telefon atau memuat naik perkembangan terbaharu. Saya sangat bencikan telefon buat masa ini, saya benar-benar maksudkannya," tulisnya.

Dalam pada itu, Scha sempat menzahirkan ucapan terima kasih buat mereka yang mendoakan untuk dirinya dan kandungannya serta meluahkan rasa syukur di atas rezeki zuriat itu.

"Terima kasih atas ucapan dan doa dari anda semua. Alhamdulillah kami sangat bersyukur," tulisnya lagi.

Awal dan Scha mendirikan rumah tangga pada 4 May 2012 dan dikurniakan seorang cahaya mata Lara Alana, kini berusia 6 tahun.