--> Skip to main content

Hamidin minta diberi masa buat pertimbangan

PETALING JAYA: "Bagi saya fikir dahulu," kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Itu reaksi beliau ketika diminta mengulas mengenai sokongan daripada majoriti ahli gabungan FAM yang mahukan supaya dia terus menerajui badan induk itu selepas penggal sedia ada akan berakhir pada tahun depan.

Walaupun mendapat sokongan yang jelas memberi jaminan dia akan terus kekal menjadi 'orang nombor satu', badan induk berkenaan, namun Hamidin menegaskan tanggungjawab selaku Presiden FAM bukan satu tugas mudah.

"Saya ucapkan terima kasih atas sokongan ahli gabungan yang mahu saya memperbaharui penggal yang seterusnya iaitu bagi tempoh 2021-2025. Bukan saya tidak terima (cadangan) dan saya hargai sokongan itu tetapi biar saya fikir dahulu dan bila tiba masanya, saya akan maklumkan.

"Tetapi untuk mengambil jawatan ini, ia bukan sekadar mendapatkan sokongan semata mata. Ini jawatan yang sangat penting apatah lagi bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini. Kalau saya mahu ambil empat tahun lagi, sudah tentu saya perlu gandakan usaha saya.

"Saya terharu dengan sokongan mereka tetapi saya pun tidak mahu terus terima kerana ini tanggungjawab yang besar. Biar saya kaji dan saya perlu tengok dahulu sebelum buat apa apa keputusan," katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-56 di sini, semalam.

Terdahulu, pada kongres berkenaan, beberapa ahli gabungan FAM menyatakan sokongan secara terbuka kepada Hamidin untuk terus memimpin badan induk berkenaan.

Antaranya adalah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Persatuan Bolasepak PDRM (PDRM FA).

Sebagai rekod, Hamidin mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama dalam kalangan orang biasa yang dilantik sebagai Presiden FAM pada 2018.

Pelantikan beliau sebagai Presiden FAM ketujuh itu adalah bagi menggantikan penyandangnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melepaskan jawatan itu pada Mac 2018.