--> Skip to main content

Guan Eng yang luluskan dua projek KPKT - Zuraida

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesahkan dua projek dianugerahkan secara rundingan terus dijalankan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, semalam beliau memaklumkan akan menyiasat tuduhan daripada pihak pembangkang berkenaan dua projek dianugerahkan secara rundingan terus oleh KPKT.

Menurutnya, projek dimaksudkan ialah Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (bernilai RM170,294,400) dan Sistem Perisian Perakaunan Century (bernilai RM501,206.37).

"Saya dengan ini mengesahkan rundingan terus itu telah dijalankan oleh mantan Menteri Kewangan sendiri, Lim Guan Eng.

"Ini bertentangan sama sekali dengan permainan fakta cuba diputarbelitkan oleh pihak pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang menuduh rundingan terus projek sisa pepejal Taman Beringin dimulakan kementerian saya.

"Penasihat Syarikat Bumi Segar Indah, Tamrin Tun Ghaffar, yang juga penyokong tegar PH mewakili syarikat itu bertemu dengan mantan Menteri Kewangan pada 28 November 2018," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Zuraida berkata, pada pertemuan itu, Guan Eng bukan sahaja membincangkan tentang rundingan semula projek berkenaan, malah bersetuju untuk mengurangkan kos 'tipping fee' 10 peratus lebih rendah daripada kos asal, kononnya sebagai penjimatan untuk kerajaan.

"Guan Eng kemudian menasihatkan Bumi Segar Indah untuk menghubungi KPKT bagi membentangkan kertas cadangan formal.

"Seterusnya, projek itu diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah Guan Eng dengan surat bertarikh 20 Februari 2019 dari Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha KPKT.

"Begitu juga projek perisian Century yang turut membabitkan lima kementerian lain, turut diluluskan Kementerian Kewangan.

"Saya berharap, pada masa hadapan pemimpin PH dapat membuat sedikit penyelidikan tentang fakta sebelum mengelirukan orang awam," katanya.