--> Skip to main content

Giliran sepupu Khabib tunjuk belang

ABU DHABI: Ramai yang menyatakan jika seorang berbakat, sudah pasti satu keluarga turut berbakat dan itulah yang boleh disaksikan kepada Usman Nurmagomedov.

Sepupu kepada bintang MMA, Khabib ini membuktikan dia sudah bersedia untuk menggegar pentas pertarungan apabila menewaskan Jerry Kvarnstrom hanya dalam tempoh 40 saat.

Bertarung pada pertandingan di sini, Usman melakar kemenangan sempurna dalam 10 perlawanan pada pusingan pembukaan menerusi 'submission.'

Perlawanan berlangsung dengan pantas yang menyaksikan Usman melepaskan beberapa tumbukan ke arah Kvarnstrom sebelum menjatuhkannya ke atas gelanggang.

Dia sudah tentu belajar daripada yang terbaik apabila Khabib turut hadir pada perlawanan itu dan memberikan tunjuk ajar kepada jaguh berusia 23 tahun itu di dalam bilik persalinan.

Ini adalah perlawanan pertama membabitkan Khabib selepas dia dikejutkan dengan pemergian ayahnya, Abdulmanap.

Usman dilihat memakai baju T yang memaparkan wajah ayah saudaranya pada perlawanan itu.

Sementara itu, Khabib yang juga juara lighweight mungkin boleh bertarung semula dengan Conor McGregor yang sudah pun bersara jika dia menewaskan Justin Gaethje pada Oktober ini.

Presiden UFC, Dana White mengakui dia akan melakukan sedaya upaya bagi memastikan perlawanan semula itu dapat dilangsungkan.

"Dia (Khabib) akan menentang Gaethje dan saya tidak tahu siapa lawannya selepas ini. Saya tahu Conor sentiasa mahukan perlawanan ulangan dan maksud saya, ia adalah perlawanan yang perlu diadakan.

"Saya tidak tahu, kita tunggu bagaimana perlawanan ini dahulu. Pertarungan dengan Gaethje memang ada tetapi perlawanan seterusnya, mungkin dengan dia (McGregor). - AGENSI