--> Skip to main content

Gesa jelaskan pembinaan, pemindahan 10 SJKC

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa Kementerian Pendidikan menjelaskan mengenai cadangan pembinaan dan pemindahan 10 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor, berkata ini kerana tiada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat berhubung perkara itu sedangkan dalam satu laporan media dinyatakan sebanyak 10 sekolah baharu akan dibina dan enam dipindahkan ke kawasan baharu.

Katanya, laporan ini ternyata mengundang reaksi tidak senang pelbagai pihak sejak dua hari yang lalu.

"Laporan itu hanya melaporkan kegembiraan satu kumpulan pendesak rentetan pengumuman Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengenai rancangan berkenaan.

"Hal ini pastilah menimbulkan tanda tanya memandangkan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai Menteri Pengangkutan bukanlah pihak yang berautoriti membuat sebarang pengumuman bersangkut pendidikan, sekiranya benar ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk laporan akhbar berbahasa Inggeris mengenai 10 buah SJKC baharu dan pemindahan enam SJKC sedia ada ke tapak yang lebih besar.

Mohd Alif berkata, kumpulan pendesak dalam isu itu juga pernah mengelirukan rakyat dengan memberi kenyataan seolah-olah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam pertemuan bersamanya.

Katanya, dakwaan kumpulan itu kemudiannya dinafikan Perdana Menteri.

Justeru, katanya GPMS berpendapat adalah lebih baik pihak Kementerian Pendidikan memberi penjelasan tuntas bagi mengelak kekeliruan dan kegelisahan rakyat.

"GPMS juga ingin mengambil ruang ini untuk mendesak Kementerian Pendidikan memberi tumpuan dan dana secukupnya bagi menangani masalah sekolah usang dalam kalangan sekolah kebangsaan.

"Besar harapan GPMS agar sekolah kebangsaan yang jadi tunjang pendidikan negara dalam memupuk perpaduan tidak dianaktirikan, ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan," katanya.