--> Skip to main content

Geng Halim penyeludup dadah ke Indonesia, pusat tahanan

KEGIATAN menyeludup dan mengedar dadah yang didalangi Geng Halim sejak awal tahun lalu tumpas hasil 22 serbuan dalam operasi khas di sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pontian dan Kota Tinggi minggu lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan yang dijalankan hingga semalam itu turut menahan 23 ahli sindiket berusia 31 hingga 50 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek terdiri daripada 17 lelaki tempatan termasuk ketua sindiket yang dikenali sebagai Halim, empat wanita tempatan serta dua wanita warga asing masing-masing warga Indonesia dan Vietnam.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 19 daripada suspek itu positif dadah methamphetamine dan ketamin manakala 20 suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kita yakin sindiket ini mempunyai rangkaian dengan pengedaran ke Indonesia.

"Sindiket ini besar, kita masih cari lagi saki baki yang ada sebab bekalan dadah ini mereka dapat dari Kuala Lumpur ke Johor.

"Kita tidak mengesan makmal kerana bekalan dadah mereka dapat dari Kuala Lumpur dan mengedar untuk pasaran tempatan serta diseludup ke Indonesia," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Menurutnya, serbuan itu turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk 14.03 kilogram ganja, heroin (6.84 kilogram), syabu (1.58 kilogram), ketamin (44.31 gram) dan 400 biji pil yaba bernilai RM170,052.

"Kita juga merampas sepucuk revolver bersama sembilan peluru hidup, pelbagai barang berharga antaranya barang kemas, 16 kenderaan, enam motosikal, serta wang tunai dengan jumlah sitaan keseluruhan RM558,094," katanya.

Menurut Ayob Khan, pihaknya turut mengesan sindiket itu menggunakan modus operandi membalut ganja seperti gula-gula untuk dibawa masuk ke sebuah pusat tahanan reman di negeri ini.

"Apabila ahli keluarga Orang Kena Tahan (OKT) datang melawat, sindiket mengambil peluang menyeludup masuk untuk diedarkan kepada tahanan.

"OKT akan menelan dadah itu, kemudian membuang air besar dan dadah akan keluar bersama najis.

"Selepas dicuci, dadah itu boleh digunakan," katanya.

Kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.