--> Skip to main content

Gembira bila terima bekalan elektrik

"SAYA rasa gembira hingga menitiskan air mata melihat rumah sudah ada bekalan elektrik selepas lebih 20 tahun bergantung dengan generator," kata penduduk Kampung Orang Asli Kampung Sungai Teras di Slim River, Ina Yok Kahar, 43.

Ibu tunggal empat anak itu berkata, rumahnya mula menerima bekalan elektrik pada Ahad lalu dan menyifatkan sebagai khabar paling gembira selepas lebih dua dekad tinggal di kampung berkenaan.

Menurutnya, dia bersyukur masalah pendawaian elektrik yang tertangguh 22 bulan lalu sudah diselesaikan dan mereka kini menerima bekalan tenaga itu.

"Sebelum ini kami bergantung dengan generator dan akan mengutip antara RM2 hingga RM4 dengan beberapa rumah lain untuk berkongsi kos minyak generator.

"Selepas ini kami sudah tidak perlu berkongsi lagi dan saya mahu beli periuk nasi elektrik dan peti ais supaya boleh menyimpan bekalan ikan dan ayam untuk seminggu," katanya ketika ditemui, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim, Tommy Yok Selap, 14, berkata dia kini tidak perlu risau untuk mengulangkaji pelajaran pada waktu malam.

"Kebiasaannya generator akan dimatikan pada 1 pagi dan kadang-kadang lebih awal iaitu pada 11 malam kerana kami mahu berjimat.

"Bekalan elektrik sangat membantu kami melakukan aktiviti harian dan lebih memudahkan saya mengulangkaji pada waktu malam, malah lebih seronok apabila ada kipas," katanya yang mahu menjadi anggota bomba.

Sementara itu, Tok Batin Kuloh Bah Rinteh, 62, berkata dia bersyukur kerana penantian penduduk kampung untuk mendapatkan bekalan elektrik sudah tercapai.

"Ketika ini 27 rumah sudah ada bekalan elektrik dan 17 lagi belum ada kerana rumah jenis lama yang memerlukan pendawaian baharu.

"Rumah saya sendiri belum ada elektrik, tetapi saya gembira melihat rumah anak buah sudah ada bekalan tenaga itu.

"Justeru, saya berharap masalah bekalan elektrik di rumah lain dapat diselesaikan dengan termasuklah masalah bekalan air kami," katanya

Katanya, dia amat berterima kasih kepada kerajaan serta media yang melaporkan masalah mereka.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan selain dibelenggu masalah air, kampung berkenaan juga tiada bekalan elektrik biarpun memiliki tiang elektrik dan sepatutnya menerima utiliti itu pada 2018.