--> Skip to main content

FELDA United tak pandang rendah UiTM FC

KUANTAN: FELDA United FC tidak memandang mudah pasukan UiTM FC apabila kedua-duanya bertemu pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran, malam esok.

Pengendali skuad The Fighters, Mohd Nidzam Jamil percaya tentangan sengit bakal dihadapi anak buahnya dalam misi mengutip tiga mata sebaik Liga Malaysia bersambung selepas ditangguhkan pada Mac lalu.

"Status UiTM yang terdiri daripada `pelajar' bukannya jaminan FELDA United mampu mencatat keputusan membanggakan di halaman sendiri.

"Bagi saya, UiTM FC yang dilatih jurulatih import berpengalaman (Frank Bernhardt) adalah sebuah pasukan yang bagus. Ini dibuktikan dengan kehadiran mereka dalam saingan Liga Super musim ini," katanya.

Mohd Nidzam berkata, UiTM juga sudah membuktikan pasukan itu

berada pada kelas tersendiri selepas mengharungi empat perlawanan

sebelum ini.

Katanya, kemenangan 3-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain

terikat 1-1 berdepan Kedah dan tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka United (0-2) sudah membuktikan skuad itu memiliki pemain yang bagus.