--> Skip to main content

FARHAN AF4 CEMAS HIDUNG ANAK KEDUA DIMASUKI MANIK

Penyanyi Farhan Azizan telah berdepan dengan detik cemas apabila mendapati hidung anak keduanya, Orkeyd Fatheema, 2, dimasuki sebiji manik, kelmarin. Menceritakan insiden tersebut, bintang Akademi Fantasia musim ke-4 (AF4) itu hanya menyedari manik di dalam hidung anaknya selepas Orkeyd mengadu ada sesuatu di mulutnya.

"Selepas selesai solat Asar semalam saya sedar manik tasbih berterabur kerana kedua-dua anak saya berebut dan menariknya sehingga talinya putus. Jadi saya pun kutip lah semua dan buang. Mereka pun main macam biasa seperti tiada apa yang berlaku.

"Malam tu selepas makan, Orkeyd tunjuk ada sesuatu di gigi dia. Jadi suami pun baringkan dia untuk lihat di dalam mulut tapi kebetulan ternampak sesuatu dalam hidung dan ia adalah manik tasbih tu. Saya terus cemas sebab ia pertama kali kejadian ni berlaku pada anak-anak saya. Saya guna pelbagai alat untuk keluarkan manik tu tapi tak berjaya kerana ia tersekat," katanya

Farhan dihubungi Astro Gempak selepas berkongsi gambar dan menunjukkan hidung anaknya yang tersumbat dengan manik tersebut di Facebook. Menurut Farhan dia dan suami lega kerana doktor kesan hanya satu biji manik sahaja didapati berada di dalam hidungnya

"Kami terpaksa bawa dia terus ke hospital dan Alhamdulilah doktor berjaya keluarkannya. Doktor kesan hanya ada satu biji di dalam hidungnya tetapi doktor meminta kami datang semula ke hospital jika dalam masa tujuh hari nafasnya berbau dan dia sudah tidak aktif atau ada sebarang perubahan yang berlaku. Alhamdulilah, sekarang ni Orkeyd nampak baik-baik sahaja dan ceria seperti selalu," jelasnya.

Mengambil ikhtibar dari apa yang berlaku, Farhan sempat memberi pesanan khas buat ibu bapa: "Saya faham sebagai ibu, kita ni ibu banyak kerja di rumah sehinga kadang-kadang boleh terlepas pandang apa yang anak kita lakukan, jadi nasihat saya selalulah perhatikan anak-anak kita terutama yang masih kecil.

"Selain itu, cuba elak dedahkan anak kepada barang-barang yang membahayakan serta barang kecil yang ada potensi untuk mereka masukkan ke dalam anggota badan seperti hidung , mulut, telinga dan sebagainya," pesan Farhan yang mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Rashadan Suhaimi pada Oktober 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Souffea Zulaeqha, 4, dan Orkeyd Fatheema, 2.

www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak

         ________________________

:: FACEBOOK :: FB GROUPS :: INSTAGRAM :: TWITTER :: :: YOUTUBE :: SANTAI :: SEJARAH MYARTIS :: Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...