--> Skip to main content

FAM lanjut kontrak bersama Malaysia Airlines

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuktikan jenama mereka kekal 'laris' selepas berjaya memeterai kontrak lanjutan bersama Malaysia Airlines Berhad sebagai rakan penerbangan rasmi bagi tempoh tiga tahun lagi.

Ini menyaksikan badan induk itu akan terus 'terbang tinggi' bersama syarikat penerbangan bermula bermula tahun depan hingga 2023 selepas perjanjian yang dimeterai selama dua tahun sebelum ini bakal berakhir pada 31 Disember ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui lanjutan usaha sama itu menjadi isyarat betapa kerjasama yang terjalin di antara kedua-dua pihak sejak 2019 adalah cukup baik sekalipun pelbagai program dan aktiviti yang dirancang pada tahun ini terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Malaysia Airlines. Ini membuktikan banyak lagi pihak yang masih yakin dengan bola sepak kita.

"Kerjasama di antara FAM dan Malaysia Airlines ini cukup simbolik kerana kedua-duanya adalah jenama kebangsaan yang begitu sinonim dengan negara kita, Malaysia," katanya pada sidang media selepas Kongres FAM ke-56 di sini, hari ini.

Majlis perjanjian usaha sama itu turut diadakan sempena kongres berkenaan. Ia dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Kapten Izham Ismail dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines Berhad, Lau Yin May.

Sementara itu, Izham mengakui pihaknya teruja untuk meneruskan kerjasama itu dan menganggap kerjasama baik dalam berpasukan adalah kunci pada kejayaan setiap usaha sama yang dijalankan.

"Disiplin dan komitmen pasukan Harimau Malaya mencerminkan keazaman kami dan seluruh rakyat Malaysia untuk turut berjuang mengharumkan nama negara melalui apa saja bidang yang diceburi tidak kira bangsa, usia dan jantina.

"Sejajar dengan Hari Kebangsaan yang akan tiba, ini adalah masa terbaik untuk Malaysia Airlines dan FAM bergabung usaha serta terbang bersama membawa bendera Malaysia ke seluruh dunia," katanya.