--> Skip to main content

Empat SJR di Amanjaya, 11 laluan tikus dikenal pasti

POLIS mengadakan empat sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Amanjaya, Sungai Petani, tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kawasan terbabit adalah di Ambangan Height membabitkan Zon Melur, Kenanga dan Mawar yang membabitkan keluasan 9.19 kilometer (km).

Beliau berkata, selain itu beberapa penugasan sudah diatur untuk melaksanakan arahan Temco di kawasan terbabit.

"Polis dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan arahan mendirikan SJR untuk membantu mengekang individu diarahkan untuk kuarantin di rumah.

"Selain itu, 11 laluan tikus dikenal pasti di kawasan itu dan penutupan akan dibantu agensi berkaitan," katanya.

Adzli berkata, setakat ini penugasan membabitkan 26 pegawai, 93 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, batu konkrit akan digunakan untuk menutup laluan di kawasan Temco.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Temco akan dilaksanakan di Amanjaya, Sungai Petani dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan itu diputuskan hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP.