--> Skip to main content

Ekonomi negara makin rancak

LANJUTAN Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan semalam tidak menjejaskan perdagangan negara malah ekonomi semakin rancak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, PKPP bukan sesuatu yang baharu dan sudah dilalui sejak dua bulan lalu.

"Sejak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi beberapa sektor perniagaan sudah dibuka beransur-ansur sehingga boleh beroperasi sepenuhnya menjelang PKPP pada Jun lalu.

"Kita dapati bahawa ekonomi negara semakin rancak yang mana sektor peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembinaan dan pembuatan sudah beroperasi.

"Bagaimanapun ia masih belum sampai ke tahap pulih sepenuhnya tapi semakin rancak dan kita sudah biasa dengan tempoh dua bulan itu (sejak PKPP diumumkan)," katanya ketika sidang media selepas merasmikan kiosk air tebu telur milik seorang pengusaha tempatan, Mohd Rizuan Shah Mamat, di Kota Bharu, hari ini.

Mustapa juga menjangkakan sehingga hujung tahun ini, ekonomi negara akan semakin pulih secara perlahan-lahan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, semalam mengumumkan PKPP yang berakhir Isnin ini, dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 sekaligus bermakna tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih digunakan.

Mustapa berkata, lanjutan PKPP seperti yang diumumkan itu memberi makna rakyat perlu terus mengekalkan tanggungjawab untuk patuh kepada arahan kerajaan terutama dari sudut keselamatan diri.

Beliau memuji dan mengalu-alukan tindakan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) malah menganggap negara sudah bersedia untuk terus kekalkan situasi dalam PKPP.

"Jadi lanjutan itu maknanya kita dan masyarakat perlu bertanggungjawab dan berwaspada kerana bimbang berlaku gelombang seperti yang terjadi di beberapa negara eropah.

"Kalau ia berlaku dan tidak mampu dibendung, ia akan mendatangkan masalah besar kepada negara.

"Jadi, ia langkah yang baik dan dialu-alukan malah kita bersedia dengan lanjutan PKPP ini kerana ia tidak menjejaskan ekonomi negara," katanya.