--> Skip to main content

Edar 1,000 Jalur Gemilang semarakkan Hari Kebangsaan

PRIMULA Beach Hotel Kuala Terengganu (PBHKT) mengedarkan sebanyak 1,000 Jalur Gemilang kepada orang ramai bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-63.

Pengurus Besar PBHKT, Suaibah Harun berkata, pihaknya rasa bertanggung jawab untuk menyemai semangat patriotik terhadap rakyat negara ini yang kini dilihat semakin 'lesu'.

"Saya sedih apabila melihat sambutan hari kelahiran negara ini disambut tidak sebagaimana dilakukan orang terdahulu yang meraikan hari berkenaan dengan penuh semangat patriotik.

"Pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan juga semakin berkurangan, justeru, sebagai menunaikan tanggungjawab itu, hari ini, PBHKT mengedarkan 1,000 Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di sekitar bandaraya Kuala Terengganu," katanya pada Program Pengagihan Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di atas jambatan angkat atau Terengganu Drawbridge, hari ini.

Katanya, pemilihan Terengganu Drawbridge itu bertujuan mempromosikan lokasi berkenaan sebagai ikon baru pelancongan Terengganu selain merapatkan hubungan masyarakat negeri ini dengan hotel berkenaan.