--> Skip to main content

Dua tahun pasang Jalur Gemilang terbalik

SEORANG wanita berusia 55 tahun ditahan selepas premis miliknya di Jalan Lee Ah Leng, Taman Nasib, Kluang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, hasil siasatan mendapati kedai makan itu sudah dua tahun mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik.

Katanya, siasatan terhadap pemilik premis itu adalah susulan mendapat aduan awam.

Katanya, anggota dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kluang menerima laporan Ahad lalu dan menahan pemilik premis pada hari sama.

"Siasatan awal mendapati premis itu beroperasi sejak 2017, bagaimanapun pada Januari lalu premis ini tidak lagi beroperasi.

"Sekarang bila kita sudah beri kesedaran dan masyarakat lebih peka untuk membuat laporan sekiranya nampak bendera terbalik.

"Kita akan ambil tindakan, akta yang dikenakan ini lebih berat. Pasang bendera berhati-hati, tiada alasan tiada faham atau terlupa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Jelas Ayob Khan, sehelai bendera turut dirampas.

"Keterangan suspek sudah diambil dan akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (penggunaan tidak wajar) (pindaan) 2017.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau keduanya sekali," katanya.