--> Skip to main content

Dua maut, 10 cedera pertempuran antara Syiah-Sunni

BEIRUT: Sekurang-kurangnya dua terbunuh dalam pertempuran di selatan ibu negara Lubnan, antara penyokong gerakan Muslim Syiah Hizbullah dan penduduk Sunni, semalam.

Menurut sumber keselamatannya, 10 yang lain cedera dalam kejadian lewat petang itu di bandar pesisir Khalde selepas penyokong Hizbullah mengibarkan bendera di tiang elektrik untuk memperingati Hari Asyura.

"Pertempuran berlaku di antara kedua-dua pihak menyebabkan dua mati dan 10 cedera," kata sumber itu.

Hari Asyura adalah acara keagamaan tahunan yang diadakan oleh Muslim Syiah pada hari ke 10 Muharram. Tujuannya adalah untuk memperingati kematian Imam Hussein, yang lazimnya menarik ramai untuk menyambutnya.

Tetapi tahun ini, Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah menggesa pengikutnya untuk menangguhkan sambutan itu yang lazimnya dilakukan, susulan penularan wabak COVID-19 di negara berkenaan.

Beliau meminta orang ramai memperingati Hari Ashura dengan mengibarkan bendera hitam di luar kediaman dan kedai mereka.

Tetapi kibaran bendera di jalan Khalde menimbulkan kemarahan kepada penduduk Muslim Sunni.

Tentera dikerahkan di Khalde dan menahan empat suspek pada awal pagi, tetapi tembakan masih dapat didengar di kawasan itu, kata media tempatan.

Ketegangan sering terjadi antara Sunni dan Syiah di Lebanon, iaitu negara yang dilanda krisis politik dan ekonomi, sejak tahun lalu.- AFP