--> Skip to main content

Dua hilang, perahu pecah terlanggar batu

DUA pekerja binaan termasuk seorang remaja lelaki hilang selepas perahu naiki karam akibat terlanggar batu di Sungai Long Mewah, Marudi, semalam.

Ketika kejadian 9.30 malam itu, tiga pekerja berjaya menyelamatkan diri manakala dua mangsa hilang dibawa arus deras.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, lima pekerja terbabit yang membuat kerja membaik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Long Aton pergi memancing dan menjala ikan di lokasi berdekatan pada 2.30 petang.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan balik selepas memancing, perahu naiki terlanggar batu.

"Kejadian itu menyebabkan perahu itu pecah dan karam.

"Tiga daripada mereka yang berusia antara 34 hingga 56 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing namun dua lagi iaitu Eduin Jala, 47, dan remaja, Franky Setiawan Jena, 14, masih hilang," katanya.

Jurucakap itu berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada Guru Besar SK Long Aton, Laurence Jau Wilson yang menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi pada 11.45 malam.

"Susulan maklumat itu, sepasukan tiga anggota dari BBP Marudi bergerak ke lokasi menggunakan pikap dan menempuh perjalanan selama 10 jam dan dilaporkan tiba di lokasi pada 5.10 petang tadi," katanya.

Bagaimanapun katanya, operasi pencarian awal dijalankan seramai 30 kakitangan SK Long Aton dan penduduk kampung dari Long Aton dan Long Nuah yang menggunakan 10 perahu bermula 6.30 pagi tadi.

"Sehingga jam 7 malam ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui," katanya.