--> Skip to main content

Dua ditahan seleweng LPG bersubsidi

DUA lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam serbuan di premis di Jalan Cheras Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Zubir Hamsa berkata, seramai 14 pegawai kanan dan anggotanya membuat serbuan pada 3.30 petang, hasil risikan dilakukan selama dua minggu.

"Siasatan awal mendapati premis itu menjalankan aktiviti 'decanting' iaitu memindahkan LPG dari tong bersubsidi ke tong LPG Industri (tidak bersubsidi).

"Dalam serbuan itu, kami menyita 370 tong LPG seberat 12 kilogram, 14 kilogram dan 50 kilogram serta dua lori muatan satu tan dianggarkan bernilai RM120,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zubir berkata, dua lelaki ditahan itu adalah lelaki tempatan berusia 47 tahun yang dipercayai pemilik perniagaan berkenaan dan lelaki warga Myanmar, 30, yang juga pekerja premis terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Bekalan 1974 kerana berniaga barang kawalan tanpa lesen dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan menyimpan barang kawalan bukan di premis dilesenkan.

Katanya, siasatan lanjut ke atas pemilik perniagaan itu dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.