--> Skip to main content

DRB-Hicom catat rugi bersih suku kedua RM306.08 juta

KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd mencatatkan kerugian bersih RM306.08 juta pada suku kedua yang berakhir 30 Jun 2020 berikutan impak buruk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac 2020.

Ia diraih bersandarkan pendapatan berjumlah RM2 bilion.

Tiada perbandingan suku tahun ke tahun bagi DRB-HICOM untuk tahun kewangan semasa berikutan perubahan tahun kewangannya kepada Disember berbanding Mac sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata selain impak pengurangan hari bekerja di bawah suku yang dikaji, ia turut terjejas akibat kerugian pengubahsuaian oleh Bank Mualamat berikutan lanjutan moratorium pembiayaan yang diperkenalkan kerajaan untuk meringankan beban rakyat, selain kerugian susut nilai beberapa aset tetap.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2020, DRB-Hicom merekodkan kerugian bersih sebanyak RM479.36 juta, manakala perolehan berjumlah RM4.74 bilion yang disumbangkan terutamanya daripada penjualan kenderaan dan komponen oleh PROTON, syarikat pengedaran automotif serta syarikat pengilangan dan kejuruteraan dan aeroangkasa.

"Jualan automotif didorong oleh pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan mulai awal Jun sehingga Disember 2020.

"Jenama automotif kumpulan itu menyumbang kira-kira 33 peratus daripada jumlah keseluruhan industri di Malaysia," katanya dan menurutnya perolehan sektor itu bagi separuh pertama tahun kewangan 2020 berjumlah RM2.87 bilion.

Bagi sektor perkhidmatan yang mencatatkan pendapatan RM1.70 bilion pada separuh pertama 2020, DRB-Hicom berkata ia didorong oleh prestasi Pos Malaysia setelah meningkatkan jumlah penghantaran bungkusannya semasa PKP susulan peralihan tabiat membeli belah rakyat Malaysia kepada dalam talian.

Dalam sektor hartanah, DRB-Hicom berkata ia merekodkan perolehan RM172.24 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2020 yang dicerminkan oleh aktiviti sub-sektor pembinaan yang rendah serta jualan hartanah perumahan yang kurang memberangsangkan semasa PKP.

Mengenai prospek, DRB-HICOM terus berhati-hati mengharungi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 yang mencabar dan kebimbangan peningkatan semula jangkitan COVID-19 serta gelombang selanjutnya, di samping potensi lembap ekonomi di peringkat global.

"Bagaimanapun, kumpulan ini akan terus mengambil langkah proaktif untuk menguruskan perniagaan bagi memastikan prospek jangka panjang yang kekal stabil," katanya.

– BERNAMA