--> Skip to main content

Dokumen TLDM bocor tidak jejas operasi

DOKUMEN Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa bocor dan dimuat naik ke laman Dark Web tidak membabitkan dokumen berdarjah yang boleh menjejaskan kesiagaan dan operasi TLDM.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh The Straits Times Singapura hari ini bertajuk 'Malaysian navy papers put up on Dark Web', pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan ketirisan itu.

Menurutnya, selepas dikenal pasti, dokumen yang dimaksudkan itu tidak membabitkan dokumen berdarjah yang boleh menjejaskan kesiagaan dan operasi TLDM.

"Walau bagaimanapun, TLDM tetap menyiasat punca dan sumber ketirisan maklumat itu.

"Sehingga kini sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) TLDM dalam keadaan utuh di bawah pemantauan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC), Markas Angkatan Tentera Malaysia (MATM).

"TLDM memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit," katanya.

The Straits Times Singapura (ST) hari ini melaporkan dokumen itu antara maklumat ketenteraan yang dicuri daripada pelbagai negara dan kontraktor pertahanan yang ditemui di sebuah portal di laman Dark Web.

ST melaporkan kira-kira 70 dokumen maklumat yang dimuatnaik itu difahami berasal dari beberapa sumber yang menggodam akaun e-mel anggota tentera.

Namun dilaporkan tidak diketahui niat penggodam itu untuk menjual atau berkongsi data itu.

Dokumen yang dimuatnaik itu memuatkan maklumat mengenai jumlah tentera di beberapa pangkalan tentera laut dan tentera Malaysia tahun lalu, syarat pemeriksaan tentera laut; pegawai kanan dan junior tentera laut Malaysia yang didakwa melakukan rasuah, mengambil dadah dan tidak hadir tanpa permohonan cuti.