--> Skip to main content

Diplomasi ketenteraan penting tangani konflik

PUTRAJAYA: Banyak ancaman baharu terhadap keselamatan negara seperti keganasan, pendatang asing tanpa izin, aktiviti jenayah rentas sempadan dan terkini penukaran pandemik COVID-19, sehingga menjadi kebimbangan utama kerajaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya menyedari kerumitan dan ketidaktentuan landskap keselamatan global.

"Kita juga mengakui bahawa keganasan antarabangsa sebagai ancaman yang nyata dan ia ditegaskan bahawa cabaran baharu dalam berdepan dengan abad ke-21 ialah individu yang terasing dan organisasi ketenteraan haram.

"Selain itu, bantuan kemanusiaan dan bencana juga menjadi satu lagi usaha penting yang dipertanggungjawabkan kepada pasukan tentera," katanya pada Majlis Graduasi Kursus Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) siri 40/2020, di PUSPAHANAS, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Panglima Tentera Udara, Tan Sri Ackbal Abdul Samad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Ismail Sabri berkata, ketika ini, Malaysia sudah mengguna pakai pendekatan menyeluruh dalam menangani isu keselamatan dan memberi penekanan terhadap diplomasi dalam mempertahankan negara daripada sebarang kemungkinan konflik.