--> Skip to main content

Dewan Rakyat hangat isu khianat [METROTV]

ISU pengkhianatan dan kerajaan pintu belakang menghangatkan sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 di Dewan Rakyat pagi tadi.

Semuanya bermula apabila Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) bangkit mencelah dan membangkitkan isu kerjasama antara Umno, Pas dan Bersatu yang dikatakan mengkhianati amanah rakyat ketika membentuk kerajaan ketika Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berbahas.

"Saya nak tanya Yang Berhormat (Bung Mokhtar) bersetuju atau tidak perpaduan ini boleh dicapai melalui pengkhianatan. Nampaknya Pas, Umno dan Bersatu boleh bersatu dengan pengkhianatan amanah rakyat ini," katanya.

Bung Mokhtar kemudiannya memaklumkan dia terpaksa menjawab soalan yang dikemukakan Mohamed Hanipa kerana rakyat hendak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Kalau saya jawab, Yang Berhormat kena. Kalau tidak jawab rakyat pula bertanya -tanya. Tapi rakyat hendak tahu.

"Sebenarnya yang menganggap ini pengkhinatan adalah mereka yang kecewa. Yang Berhormat sendiri pun pernah mengkhianati juga, mula dari Pas (tapi) keluar juga," katanya.

Perkara itu juga mendapat perhatian Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengingatkan Ahli Parlimen agar kembali semula kepada perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan.

"Yang Berhormat semua, sebelum sambung perbahasan sebentar lagi, saya ingatkan kita berbahas mengenai peruntukan perbelanjaan. Saya tidak tahu ada tak (tidak) Rang Undang-Undang pengkhianatan ini," tegur Azalina.

Beberapa lagi Ahli Parlimen turut mengambil bahagian mencelah dalam isu pengkhianatan ini antaranya Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang turut mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripada Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) mengenai peletakan jawatannya.

"Selepas rakyat pilih, mereka tolak harapan rakyat dan mengkhianati dan menyokong parti yang mereka lawan. Ini satu pengkhianatan juga.

"Bagi saya janji kerjasama tubuh parti untuk tujuan tertentu tetapi bila menang orang itu alih (tukar sokongan) bukan untuk menyokong saya tapi musuh kita, itu juga pengkhianatan," katanya bekas Perdana Menteri itu.

Persidangan sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI Persidangan sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI