--> Skip to main content

DBKL 'bersihkan' Jalan Petaling

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan berikrar mahu 'memerdekakan' Jalan Petaling daripada peniaga warga asing.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, berkata pihaknya mendapat laporan golongan terbabit mengugut dan berkelakuan seperti samseng ketika menjalankan perniagaan.

"Jangan beli barang daripada mereka. Ada yang tawar-menawar dan bila tak beli, mereka diugut oleh warga asing yang berkelakuan seperti gengster.

"Kita mahu 'memerdekakan' Petaling Street. Bandar kita. Kalau penuh dengan peniaga asing di Petaling Street, apakah ertinya kemerdekaan kepada warga Kuala Lumpur.

"Kita giat menjalankan operasi. Ini baru peringkat permulaan. Kita mahu menjalankan tanggungjawab diberikan rakyat, tidak mahu tunduk kepada tekanan politik.

"Pada masa sama, saya merayu kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan," katanya pada sidang media sempena Operasi Tegas Banteras Aktiviti Haram (TEBAH), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Ibrahim Yusoff.

Operasi itu yang diketuai DBKL mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mengulas mengenai operasi itu, Santhara berkata, 'mata-mata' dan kamera litar tertutup (CCTV) menjadi antara punca tiada penangkapan dibuat di enam premis sekitar ibu negara, dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.

Katanya, sebahagian premis terbabit turut didapati mengubah suai struktur bangunan dan mempunyai pintu rahsia yang ditempatkan di kedai runcit.

"Menerusi serbuan itu, kita rampas 78 barang termasuk kondom, tilam dan bantal, selain memecahkan 164 papan atau sekatan antara bilik.

"Serbuan dibuat hasil risikan selama tiga minggu yang membolehkan kita mengesan lokasi panas kegiatan tidak bermoral itu.

"Kita menghadapi masalah bila premis ini mempunyai 'runner', CCTV, pintu rahsia dan mengubah struktur bangunan bagi menghidu kehadiran pihak berkuasa.

"Kita akan teruskan menjalankan operasi. Kalau perlu setiap minggu kita akan berbuat demikian. Kalau perlu dua kali sehari, pun kita akan buat juga," katanya.