--> Skip to main content

Daun limau purut pun diseludup

SEBANYAK 500 kilogram (kg) daun limau purut kering dari Thailand dirampas anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Pulau Pinang berikutan tidak mempunyai permit import.

Rampasan berkenaan dilakukan ketika anggota agensi berkenaan menjalankan pemeriksaan terhadap kontena yang masuk dari Thailand di Gudang Zon Bebas Dermaga Air Dalam, di Butterworth, 14 Ogos lalu.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, daun limau purut kering yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM18,569.39.

Katanya, pemeriksaan mendapati barangan dagangan itu diimport tanpa mempunyai dokumen permit import sah dikeluarkan MAQIS.

"Pihak MAQIS menemui sebanyak 100 kotak daun limau purut kering yang mana setiap satunya mengandungi lima kg daun dan barangan yang dirampas akan disita untuk tindakan lanjut.

"Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama," katanya, semalam.

Mengulas lanjut Zarina berkata, jika disabitkan kesalahan itu, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Katanya, adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana individu yang terbabit dalam pengimportan konsainan tumbuhan, haiwan dan ikan tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta berkenaan.