--> Skip to main content

Dana Tabung Harapan lebih RM205 juta

SEJUMLAH RM205,491,219.36 dana Tabung Harapan direkodkan sebagai baki akhir sehingga 1 Disember tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, ia digunakan untuk menyelesaikan sebahagian daripada hutang 1MDB.

Katanya, akaun amanah Tabung Harapan Malaysia ditadbir oleh jawatankuasa akaun bagi menentukan penggunaan dana dalam akaun amanah tersebut mengikut tatacara yang termaktub di dalam arahan amanahnya iaitu akan digunakan untuk pembayaran hutang kerajaan persekutuan dan bayaran balik yang perlu dilakukan bagi tujuan akaun amanah itu saja.

"Tarikh akhir penerimaan sumbangan ialah 14 Januari 2019 di mana baki akhir direkodkan adalah 202,716,775.10," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Pas- Pasir Mas) mengenai status terkini Tabung Harapan dan ke manakah ia disalurkan.

Ditanya mengenai ada kemungkinan wang itu ada kaitan dengan 101 digunakan dalam projek yang diberikan secara runding terus oleh Pakatan Harapan, beliau berkata segala maklumat yang diterima tidak boleh dimaklumkan.

"Selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang dulunya kita kenali sebagai Bafia, segala maklumat yang diterima oleh Maybank tidak dapat dihebahkan.

"Semua penyumbang yang menyumbang kepada Tabung Harapan boleh memohon pengecualian cukai dan mereka yang memohon itu adalah terpulang kepada syarikat itu sendiri," katanya.