--> Skip to main content

Cuaca panas dan berangin tak halang kayuhan

CUASA panas dan angin kencang di sepanjang perjalanan tidak menghalang jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu di Hulu Selangor, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa untuk meneruskan kayuhan solonya.

Mohd Fakhrul,38, selamat tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu semalam dari BBP Kerteh dan sehingga kini sudah melalui perjalanan sejauh 1,150 kilomer (km) bermula dari Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah sejak 6 Ogos lalu.

Menurutnya, dia sudah menjelajah ke 55 BBP di tujuh negeri termasuk Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Terengganu.

"Hari ini saya akan terus ke BBP Setiu dan Jertih sebelum ke BBP Bachok, Kelantan dan bermalam di sana.

"Selepas itu, saya akan meneruskan kayuhan ke Grik, Perak sebelum ke Perlis dan Kedah.

"Saya akan menamatkan kayuhan solo itu di Ibu Pejabat Bomba Putrajaya pada 31 Ogos dan menyerahkan dana yang dikumpul melalui kayuhan itu kepada Ketua Pengarah Bomba," katanya ketika ditemui di majlis pelepasan Kayuhan Solo Amal 2020 Mencari Hati Emas di BBP Kuala Terengganu hari ini.

Majlis pelepasan itu disempurnakan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid.

Menurutnya, dia akan menghabiskan kayuhan sejauh 100 hingga 150 km sehari dalam misinya untuk menjelajah sekurang-kurangnya ke 63 BBP di seluruh negara.

"Saya mensasarkan 63 BBP di Semenanjung Malaysia iaitu jumlah sama dengan tarikh kemerdekaan yang ke-63, tahun ini.

"Bagaimanapun, sekarang sudah 55 BBP yang dikunjungi oleh itu dijangka lebih banyak BBP yang akan dikunjungi sepanjang kayuhan solo itu memandangkan tempoh tamat kayuhan masih panjang," katanya.

Menurutnya, setiap perjalanan mempunyai cabaran masing-masing tetapi paling mencabar ketika melalui perjalanan di laluan negeri di Pantai Timur.

"Dengan cuaca yang sangat panas dengan angin yang agak kencang memang memberi cabaran kepada saya.

"Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan perjalanan bagi menjayakan kayuhan solo pertama JBPM itu," katanya.

Sebelum ini, media pernah melaporkan Mohd Fakhrul melakukan kayuhan solo bagi mengutip dana untuk membantu anggota bomba yang terbabit kemalangan atau terkorban ketika bertugas.

Mohd Fakhrul berkata, dia sudah merancang untuk membuat Kayuhan Solo Amal 2020 Mencari Hati Emas ini sejak dua tahun lalu.

Namun, katanya, dalam tempoh dua bulan terakhir ini perancangan dibuat dengan lebih giat sebelum hajat itu direalisasikan.